IPOH | Kelembapan ekonomi yang berlaku ekoran pandemik Covid-19 tidak harus dijadikan alasan untuk tidak membayar caruman pekerja kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Sehubungan itu, Lapor Suara Perak, Bahagian Penguatkuasa PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja akan menjalankan operasi bersama untuk memastikan majikan menunaikan tanggungjawab itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, walaupun caruman itu tidak sampai RM10, ia sangat bermakna, lebih-lebih lagi apabila berlaku kecelakaan.
“Saya faham kita tidak boleh lari daripada kelembapan ekonomi dan sebagainya tetapi apabila sesuatu tidak diingini berlaku, akan jadi isu besar.
“Kita lihat caruman PERKESO bukanlah tinggi sangat, kalau kita tak nak bayar kurang daripada RM10 untuk caruman pekerja, ‘something wrong’.
“Kalau kita lihat keseluruhan Perkeso daripada tahun 71 sehingga hari ini, kita tak meningkatkam caruman tetapi dari segi kebaikan naik beratus-ratus kali ganda,” katanya.
Beliau ditemui di Ipoh, Perak pada Jumaat selepas menyampaikan faedah Perkeso kepad balu pengawal keselamatan, S. Thava Sagayam yang meninggal dunia setelah sekian lama terlantar akibat diserang seorang lelaki ketika bertugas.Menurutnya, kegagalan mencarum dengan Perkeso banyak berlaku di kalangan syarikat kawalan keselamatan.
Katanya, majikan yang didapati gagal mencarum dengan PERKESO boleh dikompaun atau didakwa di mahkamah yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Saravanan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut prihatin dengan nasib balu pegawai keselamatan itu dan meminta kebajikannya terbela.
Wanita berusia 59 tahun itu menerima tiga faedah Perkeso iaitu faedah hilang upaya sementara, faedah orang tanggungan dan faedah pengurusan mayat.
Thava Sagayam, 64, diserang seorang lelaki ketika bertugas di sebuah kondominium pada 29 Disember tahun lalu dan meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.
Ekoran daripada itu, polis telah mengklasifikasikan semula kes itu di bawah Seksyen 302 kerana membunuh.