KUALA LUMPUR | Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menggesa agar Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberi pertimbangan sewajarnya dan mengutamakan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 dan cadangan penubuhan ‘Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti’.
Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menyambut baik inisiatif Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar notis usul bagi membentangkan usul berkenaan.
RUU berkenaan mencadangkan agar Pilihan Raya Pecat (‘recall election’) diperkenalkan untuk mencegah rasuah politik melalui amalan lompat parti yang mengakibatkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap ahli-ahli politik.
Katanya, cadangan berkenaan adalah langkah penting demi memulihkan amalan demokrasi dan memperkukuhkan institusi parlimen yang sepatutnya meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan setelah lebih setahun negara dilanda krisis politik.
“Sehubungan dengan itu, IKRAM menggesa agar Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberi pertimbangan sewajarnya dan mengutamakan usul RUU berkenaan untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pada bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik, IKRAM katanya, menyokong usaha-usaha yang dapat memartabatkan institusi-institusi kenegaraan yang telah dibangunkan semenjak tertubuhnya negara ini.
“IKRAM sentiasa bersedia untuk menghulurkan sokongan terhadap usaha-usaha memulihkan institusi-institusi berkenaan,” katanya.
Semalam Azalina telah menghantar notis cadangan usul ‘Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021’ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata usul itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.
Berdasarkan salinan notis cadangan usul itu yang disertakan Azalina melalui Twitternya, akta berkenaan dinamakan ‘Akta Pemecatan Ahli Dewan Rakyat 2021’.