Oleh Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah berjumlah 400 kilogram (kg) yang bernilai RM14.4 juta dalam serbuan di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 31 Ogos lalu.
Serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, dadah berkenaan ditemui di dalam bungkusan teh dan mengikrarkan sebagai troli barang.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan itu hasil serbuan
Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JKDM.
Katanya, pihaknya berjaya menumpaskan penyeludupan ke luar negara dadah jenis Methamphetamine melalui perkhidmatan kargo udara di Kompleks Kargo Udara KLIA.
“Saya menggesa orang ramai membantu JKDM dalam membanteras jenayah penyeludupan dan dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam sindiket tersebut.
“Pada masa yang sama, JKDM akan terus melipatgandakan usaha dan sentiasa siap siaga dalam memerangi sebarang aktiviti penyeludupan.
“JKDM menyeru kepada masyarakat untuk memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mengunjungi mana-mana Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, JKDM menjamin bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. Bersama kita membanteras aktiviti penyeludupan demi memangkin kelangsungan ekonomi negara serta memperkasa kemakmuran sejagat.