GEORGETOWN | Kerajaan negeri yang diketuai DAP dianggap gagal menangani isu gelandangan memandangkan tidak langkah sewajarnya dilaksanakan sehingga sekarang.
Lapor HarakahDaily, Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) berkata, jumlah gelandangan dan penerima bantuan makanan di lokasi termasuk Komtar, Cititel, Tokong Cina di tepi Jalan Masjid Kapitan dan Padang Tembak masih ramai.
Katanya, dianggarkan terdapat sekitar 500 gelandangan di lokasi terbabit.
“Kewujudan gelandangan menyebabkan ada NGO mengambil inisiatif membantu golongan terbabit, tetapi malangnya tiada usaha dilakukan kerajaan negeri bagi menangani isu tersebut.
“Jika kerajaan negeri berjaya mengawal dan sekali gus mengurangkan gelandangan di tahap minimum tentunya pihak yang memberi bantuan makanan tidak wujud,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Pulau Pinang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Ustaz Yusni Md Piah
Menurutnya juga ramai pemberi bantuan makanan berisiko dikompaun kerana memberi bantuan makanan kepada gelandangan.
Kata beliau kerajaan negeri perlu menyediakan pelan atau rancangan jangka masa panjang untuk menyelesaikan isu gelandangan dan bukannya mengumumkan Pulau Pinang sifar kemiskinan.
“Situasi itu belum lagi diambil pusat-pusat kebajikan kanak-kanak, OKU dan Rumah Orang Tua yang terpaksa meminta bantuan makanan kerana tidak dapat menampung kos operasi ketika pandemik Covid-19 sekarang,” katanya.
Mohd Yusni juga berharap kerajaan negeri mempertingkatkan Program Mutiara Foodbank bagi membantu rakyat yang terjejas ketika pandemik Covid-19.
Selain itu kata beliau kerajaan negeri wajar menyediakan penempatan sementara kepada gelandangan ketika pandemik sekarang.