KUCHING | Polis terpaksa melakukan lencongan baharu laluan ke Dewan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi tujuan saringan COVID-19.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, lencongan itu dibuat ekoran pelaksanaan ujian saringan COVID-19 secara pandu lalu.
“Susulan peningkatan kes positif di daerah ini, Pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah membuat penambahbaikan lencongan laluan ke lokasi ‘one stop centre COVID- 19 di dewan masyarakat MBKS.
“Lencongan jalanraya akan bermula pukul 6.30 pagi pada setiap hari kepada semua kenderaan dan pengguna jalanraya yang akan hadir ke dewan MBKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya jumlah kenderaan berkurangan dan lalu lintas bergerak lancar semula lencongan akan dibuka semula mengikut laluan asal kenderaan.
Katanya, kepada semua pengguna jalan raya yang hadir diarahkan supaya mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas dan juga tanda-tanda lalu lintas yang telah diletakkan bagi melancarkan perjalanan masuk dan keluar.
“Semua kenderaan dilarang diletakkan di bahu jalan laluan pandu lalu yang boleh menyebabkan laluan pandu lalu terhalang seterusnya menyebabkan kesesakkan jalan raya.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk merancang masa perjalanan jika mempunyai urusan di kawasan bandar,” katanya.
Ahsmon berkata, pengguna jalanraya dinasihatkan menggunakan laluan lain selain daripada jalan Pandungan dan jalan Tan Sri Datuk William Tan yang telah digunakan sebagai laluan pandu lalu.
Katanya, tindakan penguatkuasaan berpandukan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diambil kepada mana-mana orang awam yang mengingkari arahan pegawai polis yang bertugas.
“Kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan bagi melancarkan proses saringan COVID-19 di dewan MBKS.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching di talian 082-241133,” katanya.