By Nik Amir
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengemukakan permohonan secara rasmi kepada kerajaan berhubung kebenaran untuk kemasukan semula penyokong yang telah melengkapkan dua dos vaksin ke stadium, hari ini.
Permohonan tersebut diserahkan Pesiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan yang baharu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipejabat beliau di Putrajaya.
Pada pertemuan itu, Ab Ghani menyerahkan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) Liga Malaysia 2021 selain turut memberi penjelasan mengenai perkembangan liga yang bermula sejak 5 Mac lalu menerusi
SOP yang ketat seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pada 19 Ogos lalu, Ab Ghani mengesahkan MFL merancang untuk mengemukakan permohonan kepada MKN dalam masa terdekat agar penyokong yang telah mengambil dua dos vaksin dibenar hadir ke stadium.
Pada awal musim, penyokong dibenarkan masuk ke stadium mengikut SOP tertentu dengan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dibenarkan manakala bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dibenarkan.
Namun, sebaik Liga-M kembali bersambung pada 24 Julai, setelah arahan Fasa Pertama Perintah Kawalan Pergerakan Menyeluruh bermula pada 1 Jun, penonton tidak dibenarkan hadir ke stadium.