IPOH | Kerajaan Perak bersetuju untuk memberi keutamaan kepada para atlet di negeri ini untuk mengisi sebarang kekosongan jawatan di dalam pentadbiran negeri.
Lapor Suara Perak, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Perak.
Namun Jelas beliau kekosongan jawatan yang bakal diisi atlet di negeri ini perlulah mempunyai kelayakan khususna daripada segi soal pendidikan.
“Mesyuarat kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan kelebihan kepada atlet kita untuk menjawat jawatan di dalam pentadbiran.
“Akan tetapi kelayakan itu mestilah diambil kira, mungkin kita uruskan seminima yang boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) antara Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, secara maya, di sini, pada Jumaat.
Selain itu Khairul Shahril berkata, kelayakan para atlet untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan akan diteliti agar tidak mengganggu sebarang proses semasa mereka menjawat jawatan diberikan.
Pada masa sama beliau turut mencadangkan agar USAS mempertimbang bagi membuka program pengajian baharu dalam bidang Sains Sukan dan Pengurusan Sukan.
“Ia adalah untuk membolehkan atlet-atlet yang berada di Perak menyambung pengajian di dalam kursus tersebut memandangkan di negeri ini hanya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sahaja menawarkan program tersebut,” katanya.
Pada Januari lalu, Khairul Shahril dilaporkan berkata Kerajaan Perak berhasrat memberi keutamaan kepada para atlet untuk mengisi kekosongan jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak.
Menurut beliau, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan kebijakan atlet di negeri ini terjaga selain mengelakkan mereka yang berpotensi berhijrah ke negeri lain.