IPOH | Selepas memperkenalkan i-Suri untuk carumah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suri rumah, kerajaan bercadang memperkenalkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula.
Lapor Suara Perak, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M, Saravanan berkata, di bawah program itu kerajaan akan membayar caruman kira-kira 150,000 wanita dalam golongan B40 yang berdaftar di bawah e-Kasih.
Menurutnya, mereka yang tidak berada di dalam kategori itu juga boleh menyertai dengan caruman sebanyak RM120 setahun atau RM10 sebulan.
“Kita akan beri caruman jaringan keselamatan kepada golongan ibu yang di rumah sebab dalam keadaan kelembapan ekonomi, saya lihat apabila suami tak bekerja, isteri menghadapi penyakit kronik, mereka tidak mampu untuk memberi perubatan yang sewajarnya.
“Maka inilah waktu dan masa kita perlu betul-betul bantu bagi jaringan keselamatan kepada kaum wanita, khususnya mereka yang berada di rumah dan PERKESO telah mengaturkan program kepada golongan ibu yang didaftar di bawah e-Kasih seramai 150,000 orang akan menerima jaringan keselamatan,” katanya.
Beliau ditemui di Ipoh, Perak pada Jumaat selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada balu pengawal keselamatan, S. Thava Sagayam yang meninggal dunia setelah sekian lama terlantar akibat diserang seorang lelaki ketika bertugas.
Menurutnya, program itu dirancang untuk dimulakan Januari tahun hadapan.
Program itu adalah antara 20 program berimpak tinggi yang disasarkan kementerian dalam masa 100 hari kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.