by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Sebanyak 180,000 dos vaksin CanSino dihantar ke Sabah secara berperingkat, bermula 28 Ogos lalu hingga Isnin ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata 2,000 dos vaksin berkenaan diagihkan ke Pulau Mabul selama dua hari, bermula hari ini.
“Hingga hari ini, sebanyak 44,000 dos vaksin CanSino telah diterima Sabah.
“Aktiviti pemberian vaksin CanSino diteruskan kepada penduduk di Pulau Mabul yang akan dijalankan selama dua hari, membabitkan 1,000 dos pada hari ini dan 1,000 lagi esok, selain 500 dos di Nabawan.
“Sebelum ini, vaksin itu telah diagihkan ke Pulau Sebatik membabitkan 2,400 dos, dan 1,200 dos lagi di pedalaman Kinabatangan, pada 29 serta 30 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan di laman Twitter beliau, hari ini.
Setakat ini, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula Februari lalu, membabitkan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech (Cominarty), Sinovac (CoronaVac) dan AstraZeneca, manakala Johnson & Johnson sudah mendapat kelulusan bersyarat.
Solution Biologics adalah Pemegang Pendaftaran Produk bagi CanSino di Malaysia, dan vaksin itu mendapat kelulusan penggunaan bersyarat bagi kegunaan kecemasan di negara ini oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 15 Jun lalu.