SHAH ALAM | Selangor membenarkan 100 jemaah termasuk pentadbir menunaikan solat Jumaat di masjid seluruh negeri ini bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ia membabitkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri); Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Raja Haji Fi Sabililillah, Cyberjaya; masjid pengurusan, masjid institusi dan masjid kariah.
Katanya, bagi surau pula, kebenaran solat Jumaat adalah 50 jemaah (termasuk pentadbir).
“Bagi solat fardu, 50 jemaah dibenarkan termasuk pentadbir bagi kesemua masjid, surau dan musolla. Ketetapan baharu ini akan berkuat kuasa mulai hari ini sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa.
“Semua pentadbir masjid dan surau diminta terus mengambil langkah-langkah pencegahan berterusan seperti menjalankan aktiviti disinfeksi berkala dan terus menggalakkan ahli kariah yang masih belum mengambil suntikan vaksin untuk segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.
Katanya, antara syarat bagi jemaah solat Jumaat dan lima waktu adalah individu (ahli kariah) yang tinggal dalam kariah masjid; lengkap dua suntikan dos vaksin serta melaksanakan penggiliran jemaah mengikut hari atau waktu atau mana-mana yang bersesuaian jika bilangan jemaah menerima dua suntikan vaksin melebihi dari kapasiti dibenarkan.