KOTA BHARU | Golongan belia sering diberikan kefahaman yang sempit mengenai politik, di mana ada watak mencemarkan politik dengan tindakannya yang menyalahi undang-undang.
Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM Raub Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata, sedangkan politik merupakan satu mekanisma untuk membentuk dasar negara, sistem perundangan, hubungan negara dengan masyarakat antarabangsa dan perkembangan ekonomi.
“Akhirnya kita mengalami kekurangan minat anak muda dalam politik dan mereka tiada kesedaran untuk mengundi walaupun bangsa lain berlumba-lumba untuk melakukan pendaftaran undi.
“Ini berbeza dengan orang Melayu. Anak-anak muda sering memberi alasan hanya satu undi tidak membawa apa-apa kesan yang besar.
“Ini satu masalah besar yang berlaku sekarang di mana kefahaman politik anak-anak muda disempitkan,” katanya pada Kongres Mahasiswa Kelantan 2021 secara atas talian baru-baru.
Kongres itu membincangkan masalah yang dihadapi mahasiswa khususnya anak-anak muda Kelantan berkaitan politik.
Turut bertindak sebagai panelis Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, Adun Paloh Amran Arifin dan Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan, Hafizul Nizam Abdullah.
Dr Che Hamdan juga berkata, politik tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya individu yang menggunakan platform tersebut untuk mencapai kepentingan sendiri secara bertentangan dengan peraturan suatu kesalahan.
“Masalah kita hari ini bagaimana anak muda sudah rasa politik sebagai satu benda yang kotor. Sekarang politik berkisar berebut mendapatkan kuasa.
“Situasi politik itu menyebabkan lebih separuh anak muda tidak minat dengan politik kerana segelintir pemimpin politik terlibat rasuah dan penyelewengan,” katanya.
Ahmad Fadhli pula berkata, selepas kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh semua program kerajaan, peruntukan dan bantuan rakyat tidak dapat dilaksanakan seketika.
Menurutnya, situasi itu berlaku kerana pembahagian kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari tidak dapat bergerak dengan sempurna sehingga perdana menteri baharu dilantik.
“Apabila eksekutif tiada seketika ia mengganggu pentadbiran pada peringkat bawahan, apatah lagi ketika kita sekarang berhadapan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.