KOTA BHARU | Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi memaklumkan beliau tidak selesa dengan tajuk berita daripada sebuah portal yang mengguna pakai ‘pemimpin’ BERSATU, namun isi berita adalah ahli.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, tajuk berita itu boleh mengelirukan masyarakat.
Katanya, beliau meminta wartawan, sama ada penyokong kerajaan atau sebaliknya harus berhemah dan membuat berita yang tepat.
“Tajuk berita mengguna ‘pemimpin’ sedangkan isi kandungan berita adalah ahli,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, ianya selaras dengan kenyataan media beliau pada 31 Ogos lalu.
Terdahulu, Mohamed Farid dalam sidang media berkata, BERSATU menyerahkan kepada pihak polis dan sistem perundangan serta kehakiman negara berhubung isu seorang lelaki yang didakwa memukul hingga menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Ipoh, Perak.
Beliau berkata, daripada maklumat yang ada, beliau (lelaki itu) adalah ahli BERSATU Perak.
“Lelaki itu bukan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Kota Bharu atau ahli Bersatu Kota Bharu kerana beliau sudah tidak aktif dengan parti ini di bahagian negeri atau pusat,” katanya.
Media sebelum ini juga melaporkan,
polis mengklasifikasikan semula kes seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh, Disember tahun lalu, sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya merujuk semula kes kepada pihak pendakwa raya dengan mencadangkan pertuduhan lebih tinggi dikenakan kepada suspek.
“Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa meninggal dunia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.