KANGAR | Dakwaan National Endowment for Democracy (NED) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, membantu pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas mendedahkan kekuatan sebenar pembangkang.
Lapor HarakahDaily, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Muhammad Azmir Azizan berkata, pendedahan itu begitu mengejutkan kerana ada kaitan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU ke-14 dengan bantuan dana asing.
Katanya, perkara ini sudah tidak mencari rahsia umum lagi sekarang setelah banyak siri pendedahan dibuat.
“Oleh itu rakyat perlu sedar PRU15 jangan pilih mereka yang didakwa ada kaitan dengan dana asing sehingga ia boleh merosakkan kedaulatan negara.
“Kedaulatan ini wajib dipelihara dan kemerdekaan negara mesti dipertahankan demi kehidupan anak bangsa pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Baru-baru ini bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Dato’ Mohd Salleh Ismail dilapor mendedahkan terdapat pemimpin politik Malaysia menerima bantuan dan sokongan moral dari luar negara.
Campur tangan ini membabitkan individu dan pertubuhan terutamanya di Amerika Syarikat bagi membolehkan mereka meneruskan karier politik masing-masing.
Manakala Penasihat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Dr Kua Kia Soong pula mendesak pemimpin PH menjelaskan hubungan mereka dengan National Endowment for Democracy.
Dr Kua mendakwa dana kepada blok pembangkang berlaku sejak sedekad lalu dan perkara ini didedahkan Presiden International Republican Institute (IRI) AS, Daniel Twining, tiga tahun lepas.
Muhammad Azmir juga berkata, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah memberi peringatan supaya tidak mengundang campur tangan asing dalam apa jua masalah yang timbul dalam negara.
“Biarlah kita menyelesaikan masalah di negara kita, dengan cara kita sendiri,” katanya.