MELAKA | Seorang wanita warga Myanmar ditahan dipercayai menggunakan identiti orang lain ketika mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi dos kedua di sebuah klinik di Melaka Tengah di sini, pada 18 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan jam 2 petang selepas didapati menggunakan pendaftaran vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera yang didaftarkan milik seorang pekerja lelaki dari sebuah syarikat percetakan di Cheng di sini.
Katanya, kejadian disedari mangsa yang juga seorang warga asing berusia 30-an yang memeriksa maklumat penerimaan vaksin dalam aplikasi yang sudah dikemas kini dan tercatat sudah mengambil dos pertama.
“Lelaki itu mengadu hal itu kepada majikannya sebelum membuat laporan polis yang mendakwa identiti pekerjanya sudah digunakan pihak ketiga untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Polis sudah merampas satu kad vaksin atas nama suspek, i-kad bertulis Malaysia Immigration Regulations 1963 Visit Pass yang dipercayai palsu, satu salinan kad pasport yang sudah tamat tempoh dan telefon bimbit suspek,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata, wanita itu direman selama 17 hari bermula 19 Ogos hingga 4 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan.
Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.