JOHOR | Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di pinggir hutan Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil, Bandar Penawar, di sini, kelmarin.
Mereka ditahan ketika bersembunyi di pinggir hutan di lokasi pada jam 1.30 pagi menerusi Op Benteng.
TDM dalam kenyataan memaklumkan, penahanan PATI itu
melalui unit yang sedang melaksanakan operasi di bawah formasi Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).
Katanya, sebelum itu, ketika anggota Petugas Pos Pemerhati yang sedang melaksanakan rondaan telah terserempak dan berjaya menangkap dua individu yang disyaki sebagai PATI sedang bersembunyi di pinggir hutan.
“Hasil maklumat, pasukan menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan berkenaan dan hasil penjejakan berjaya menahan empat PATI yang bersembunyi di kawasan berhampiran.
“Pada jam 11.45 pagi, seramai enam PATI lagi telah ditangkap yang bersembunyi berhampiran kawasan tangkapan pertama.
“Seramai 12 PATI yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita berusia antara 22 hingga 45 tahun dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya.
Kenyataan itu berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,988 membabitkan mata wang Indonesia iaitu IDR3,200,700 (RM933) bersama lima telefon bimbit.
Menurutnya, kesemua PATI ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.
“Pihak TDM sentiasa bersedia mengawal dan meningkatkan kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara.
“Kerjasama agensi-agensi dalam Op Benteng akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.