By Nor Shazleza Shahril
JOHOR BAHRU | Johor kini memperluaskan inisiatif vaksinasi ‘walk-in’ ke hampir seluruh daerah negeri ini bagi mempercepatkan imuniti kelompok dicapai.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata usaha itu sebagai langkah ‘mopping up’ vaksinasi untuk rakyat tempatan di negeri ini sebelum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diperluas kepada warga asing yang juga pekerja industri di Johor.
Katanya, ia juga bagi mencapai sasaran supaya 100 peratus rakyat Johor sekurang-kurangnya lengkap dos pertama pertengahan bulan ini.
“Inisiatif vaksinasi ‘walk-in’ di Johor telah dimulakan pada pertengahan bulan lalu melalui program di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobile, bagi memberi ruang kepada warga tempatan yang masih belum mendaftar melalui MySejahtera, khususnya di lokasi pedalaman.
“Ia juga dibuka kepada sesiapa yang telah tercicir mendapatkan dos kedua, atas sebab- sebab tertentu. Bagi mereka ini, sekiranya jenis vaksin tidak sama dengan dos pertama, mereka akan diberi janji temu baharu.
“Pemberian vaksin secara ‘walk-in’ ini dijalankan bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang, mengikut lokasi dan tarikh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Vidyananthan berkata, lapan daerah disenaraikan untuk vaksinasi ‘walk in’ ini adalah Kulai, Segamat, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Mersing dan Kluang.