KOTA BHARU | Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini, yang dinaik taraf mampu menampung penumpang seramai 4 juta setahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek naik taraf dan pembesaran LTSIP dijangka siap pada pertengahan 2024.
Katanya, lapangan terbang itu juga bersedia untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa.
“Lapangan terbang dengan kos lebih RM440 juta itu juga adalah lapangan terbang domestik ketiga tersibuk selepas Miri, Sarawak dan Subang, Selangor.
“Skop utama projek naik taraf ini adalah merangkumi pembesaran dan menaik taraf bangunan terminal sedia ada bagi meningkatkan kapasiti daripada 1.5 juta penumpang setahun (MPPA) kepada 4 MPPA yang dijangka dapat dicapai pada 2028.
“Pembinaan juga akan mengasingkan balai ketibaan dan pelepasan penumpang dengan bangunan terminal yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke tapak projek naik taraf dan pembesaran LTSIP, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
“Projek itu membabitkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat selain lima jambatan udara (Aerobridge) akan ditambah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 11 jambatan selepas ini,” katanya.