By Nor Shazleza Shahril
MELAKA | Seramai 500 jemaah dibenarkan hadir ke masjid kerajaan di negeri ini bagi solat Jumaat, fardu dan solat jenazah bermula esok susulan peralihan Melaka ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, berkata walaupun dibenarkan menerima sehingga 500 jemaah, jumlah yang dibenarkan tetap bergantung kepada keluasan masjid.
“Selain masjid kerajaan, penambahan bilangan jemaah turut diberikan kepada masjid kariah, institusi dengan jumlah 200 orang serta surau 100 orang.
“Ia bergantung kepada keluasan premis dengan penjarakan fizikal 1.5 meter. Contohnya, jika penjarakan fizikal hanya mampu menampung 300 jemaah, maka jumlah maksimum adalah 300 sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kebenaran solat berjemaah dan aktiviti pengimarahan juga hanya dibenarkan kepada warganegara dan penduduk tetap, manakala warga asing masih tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti di masjid mahupun surau.
“Kanak-kanak bawah 12 tahun juga tidak digalakkan hadir, malah jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan sistem pengudaraan yang baik bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah,” katanya.
Sementara itu, Che Sukri berkata, pertambahan kehadiran dalam majlis akad nikah di masjid kariah negeri dan Pejabat Agama Islam Daerah turut dibenarkan.
Kehadiran di masjid kariah, katanya, ditetapkan tidak melebihi 23 orang membabitkan 20 ahli keluarga pasangan pengantin termasuk wali, manakala di Pejabat Agama Islam Daerah pula tidak melebihi 13 orang membabitkan 10 ahli keluarga pasangan pengantin termasuk wali