KUCHING | Seramai 33 orang ditangkap polis dalam 18 serbuan perjudian atas talian sepanjang bulan Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, tangkapan dibuat membabitkan 20 warga tempatan (19 lelaki dan perempuan) serta 13 warga negara asing (11 lelaki dan dua perempuan.
“Kesemua ditahan melibatkan kesalahan bermain judi online di tempat awam serta menjadi agen tambah nilai (kiosk).
“Pihak kami turut berjaya membuat serbuan ke atas sebuah premis jenis banglo dua tingkat di Jalan Lapangan Terbang, Kuching yang mengoperasikan pusat judi online (calling centre),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan pihak polis mendapati premis tersebut telah beroperasi lebih kurang enam bulan lalu.
Katanya, berdasarkan kepada rekod dan transaksi yang telah berjaya disemak, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM3,500 sehari dan boleh mencecah RM105,000 sebulan.
“Turut dirampas dalam semua serbuan terbabit, pelbagai peralatan termasuklah, enam unit monitor komputer, enam unit pemprosesan komputer (cpu), 10 buah telefon bimbit, router, modem dan peralatan lain dalam menjalankan kegiatan perjudian online tersebut.
“kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 4(1(9), Seksyen 7(2) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Op Dadu khas akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras perjudian haram yang merugikan ekonomi dalam aspek lesen dan cukai,” katanya.