KOTA BHARU | Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memberi kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat untuk menyelesaikan isu ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada Polis Bukit Aman sekiranya diperlukan.
Katanya, pihaknya bersedia untuk memberi khidmat kaunseling kepada kumpulan ajaran itu.
“Kita juga menyeru supaya pengikut ajaran itu menyerah diri kepada pihak berkuasa.
“Siasatan oleh pihak polis sudah bermula, jadi saya nasihatkan kepada semua pengikut dia (ajaran PMYT) supaya kembali dan serah diri dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di sini, hari ini. Pada program selama lima hari yang bermula hari ini, seramai 6,000 individu akan divaksinasi.
Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga akan menghantar wakil untuk membantu penyiasatan itu.
“Yang pertama, kita sudah ada pasukan khas Jakim di bawah bahagian penguatkuasaan dan keduanya, kita juga ada bahagian kepakaran untuk meneliti soal (ajaran PMYT). Soal ajaran yang dikatakan ajaran sesat ini, kita kena tengok hasil siasatan (polis) kerana ianya akan siasat semuanya,” katanya.
Media semalam melaporkan, polis menahan Sittah Annur, 39, yang juga Ketua Ajaran PMYT dan membongkar penemuan dana sumbangan pengikutnya sebanyak RM84,721.42.