SHAH ALAM | Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang yang disyaki menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas pada 31 Ogos lalu dan yang terkini pada 3 September.
JAS berkata, henti tugas LRA tersebut berlaku akibat pencemaran sebatian penyebab bau atau odor causing substances (OCS) yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) pada tahap 2 TON (Threshold Odour Number) di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 5.15 petang semalam.
“Siasatan oleh JAS Negeri Selangor pada 2 dan 3 September mendapati kilang tersebut beroperasi dan beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian dan sampel air sungai di muka sauk telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa komposisi kimia.
“Siasatan diteruskan pada tengah malam 3 September yang mana pengawasan kualiti udara yang dijalankan di takat pelepasan akhir kilang (sebelum ke longkang awam) telah berjaya mencerap beberapa bahan iaitu Sebatian Organik Meruap (Volatile Organic Compound, Voc) dalam udara yang berbau serta mempunyai persamaan dengan bahan-bahan VvOC yang dikesan dalam sampel air berbau semasa kejadian henti tugas LRA Sungai Semenyih pada 31 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan petunjuk terbaharu tersebut, pihak JAS telah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta merta dan proses pengeluaran kilang dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 25 (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
“Kesalahan terhadap pencemaran perairan daratan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 25(3) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya bagi setiap parameter.
“Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah mengambil bahan bukti termasuk sampel-sampel efluen dan telah membuka kertas siasatan kes ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B) iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000.00 atau kedua-duanya sekali,” katanya.