PUTRAJAYA | Beri alasan hanya berperanan sebagai orang tengah. Itu jawapan ringkas diberi seorang lelaki berusia 30-an yang ditahan selepas menyimpan tujuh burung macaw berasal dari Amerika Selatan.
Suspek yang menetap di Sungai Siput, Perak dikesan menyimpan burung itu yang dianggarkan boleh mencecah harga ratusan ribu ringgit.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, sepasukan 12 kakitangan Unit Penguat Kuasa Perhilitan Perak melakukan pemeriksaan mengejut di kediaman suspek jam 12.45 tengah hari semalam.
Menurutnya, pemeriksaan di kediaman itu menemui tujuh burung macaw dari spesies scarlet macaw, hyacinth macaw, blue and gold macaw, catalina macaw dan harlequin macaw.
“Turut ditemui tiga murai batu disimpan di kediaman berkenaan.
“Suspek yang disoal siasat mendakwa hanya bertindak sebagai orang tengah untuk menyerahkan semua burung itu kepada pembeli.
“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu tiada lesen Perhilitan untuk menyimpan haiwan itu,” katanya.
Kadir berkata, semua burung dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dirampas dan dibawa Pejabat Perhilitan Sungai Siput, Perak untuk tindakan lanjut.
“Satu laporan polis dibuat di balai polis Sungai Siput dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya. – Harian Metro