PUTRAJAYA| Sebanyak 5,870 bantuan bakul makanan telah diagihkan kepada rakyat yang memerlukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hasil Prihatin.
Dalam satu kenyataan LDHN berkata, terbaharu, pihaknya mengagihkan sebanyak 401 bakul makanan kepada kumpulan sasar di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Di Kelantan, sumbangan diagihkan di Kampung Peringat dan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Dewan Tun Ghaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala.
“Sebanyak 201 bakul makanan diserahkan kepada para penerima yang telah dikenal pasti terdiri daripada masyarakat Melayu Cina dan Siam.
“Turut hadir pada program tersebut adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN Datuk Jaafar Embong dan Pengarah Negeri LHDN Terengganu/Kelantan Kamarudzaman Bahrain,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, selain Kelantan, Program CSR Hasil Prihatin pada hari ini turut diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur.
“Dalam program itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Harun telah berkesempatan untuk menyerahkan 200 bakul makanan kepada Pengerusi Masjid Datuk Roslan Madon dan wakil penduduk untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
“Turut hadir, pada program itu adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Ajib Ismail dan Pengarah Negeri LHDN Kuala Lumpur Mohamad Zain Mohamad Said,” katanya.