KOTA TINGGI | Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai menyebarkan berita palsu kematian ahli keluarga akibat COVID-19 bagi mendapatkan sumbangan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, lelaki berusia 45 tahun itu bekerja sebagai kakitangan Kontrak Petronas Pengerang.
“Hasil maklumat dan siasatan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi mendapati saspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat COVID-19 bagi mendapatkan sumbangan derma sejak Jun lalu.
“Maklumat tersebut tular menerusi media sosial Whatsapp dan Facebook yang mendakwa lelaki tersebut berdepan dengan ujian berat akibat kehilangan keluarga telah menarik simpati orang ramai untuk memberikan sumbangan derma yang dimasukkan ke dalam akaun bank suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek telah ditahan pada 4 September, di Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi dan di reman selama empat hari.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari 1 tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.