PUTRAJAYA | Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik 29 pertuduhan bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berasaskan fakta yang disahkan dari siasatan lanjut.
Dalam satu kenyataan SPRM berkata, perkara tersebut bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya.
Katanya, pernyataan itu itu dibuat mengikut Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan telah berlangsung
“Susulan itu SPRM telah menjalankan siasatan lanjut berkenaan pembelaan tersebut.
“Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan yang dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan bahawa beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan.
“Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” kata kenyataan itu.
Memetik kenyataan itu lagi, SPRM telah merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten.
“Pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei 2021,” katanya.