TAIPING | Umat Islam di negara ini dinasihatkan untuk tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana ajaran ataupun fahaman yang menyimpang daripada landasan agama sebenar.
Lapor Suara Perak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata mereka yang ingin mendalami ilmu agama hendaklah dibuat melalui medium atau kaedah yang berpandukan kepada lunas-lunas agama.
“Mereka yang ingin mempelajari agama hendaklah belajar secara betul seperti menerusi pengajian agama di masjid atau surau.
“Ini kerana medium berkenaan adalah jelas yang mana sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak betul, jabatan agama boleh mengambil tindakan perlu dengan segera.
“Jika ada ajaran atau fahaman yang dirasakan berlainan, kita hendaklah merujuk kepada badan autoriti agama setempat seperti kadi atau imam untuk mengesahkan perkara berkenan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Musaadah Banjir di Kampung Matang Gelugor, dekat sini, pada Ahad.
Dalam pada itu Idris merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dalam usaha mengekang penyebaran ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).
“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada PDRM yang bertindak pantas dengan membawa kepada pengadilan berhubung isu ini yang mana ianya juga membabitkan soal keselamatan negara.
“Saya memberi jaminan bahawa dalam soal agama, pihak Jabatan Agama Islam Negeri bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dalam hal ini,” katanya lagi.
Pada Sabtu dilaporkan polis menahan seorang wanita ketua ajaran PMYT di kediamannya di Shah Alam kira-kira jam 1.10 pagi.
Sebelum ini, tular di laman sosial berhubung individu dengan nama ‘Sittah Annur’ yang dikaitkan dengan ajaran sesat kumpulan terbabit yang mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.
Wanita terbabit turut mendakwa memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh dan mempunyai keistimewaan meramal masa depan.