LONDON | Bekas Perdana Menteri British, Gordon Brown menyifatkan negara kaya sebagai tidak bermoral apabila menyimpan stok vaksin COVID-19 ketika negara miskin bergelut mendapatkan bekalan.
Lapor Agensi, Brown yang juga utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Presiden Joe Biden dan pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) menghantar segera vaksin daripada gudang di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah ke Afrika.
Negara barat menyimpan hampir 300 juta dos ketika hanya 70 juta penduduk di Afrika divaksin setakat ini. Kenyataan Brown disiarkan di akhbar Sunday Mirror yang memetik kajian firma data Airfinity.
Beliau berkata, menjelang Krismas, negara barat dijangka mempunyai lebihan satu bilion dos walaupun setiap warga Eropah dan Amerika dewasa menerima dos penggalak dan kesemua kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas menerima suntikan.
“Kita berada dalam perlumbaan ‘senjata’ baharu untuk memastikan setiap individu memperoleh vaksin dengan segera. Tetapi ini adalah perlumbaan senjata yang mana Barat mengawal bekalan vaksin,” katanya.
Kawalan ke atas stok vaksin oleh negara kaya menyukarkan program COVAX daripada memenuhi sasaran penghantaran dua bilion vaksin kepada negara miskin tahun ini.
Tindakan menyimpan stok juga melambatkan perkongsian dos vaksin oleh negara G7 kepada Afrika dan negara berpendapatan rendah, katanya.