TAIPING | Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkemungkinan akan mengambil pendekatan untuk melarang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang belum atau enggan menerima vaksin COVID-19 untuk dikecualikan daripada aktiviti pengajaran secara bersemuka.
Lapor Suara Perak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata walau bagaimanapun perkara berkenaan akan dikaji dan dibincangkan di peringkat JAKIM dalam tempoh terdekat.
“Guru merupakan individu yang paling dekat dengan anak murid, justeru saya menasihatkan guru KAFA untuk mengambil vaksin.
“Saya tidak mahu ulas panjang kerana bukan bidang saya berkenaan vaksin akan tetapi ramai orang yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 daripada vaksin itu sendiri.
“Justeru perkara ini akan dibincangkan JAKIM di bahagian pendidikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Musaadah Banjir di Kampung Matang Gelugor, dekat sini, pada Ahad.
Idris berkata demikian sebagai menjawab sama ada JAKIM akan mengambil langkah sama seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung guru KAFA yang masih belum atau enggan divaksin.
Pada Sabtu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan bahawa guru-guru yang enggan atau belum divaksin tetap perlu ke sekolah namun akan diberi tugasan lain yang tidak membabitkan aktiviti pengajaran di dalam kelas secara bersemuka dengan pelajar.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan berhubung dengan sebahagian daripada guru terbabit bagi mendapatkan kepastian punca mereka tidak divaksin.
Tindakan dan pendekatan selanjutnya terhadap mereka yang enggan menerima pelalian berkenaan, katanya, sedang dibincangkan oleh KPM dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).