KOTA BHARU | Kelantan mula membuka pemberian vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ bermula semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pemberian vaksin sevara ‘walk-in’ itu akan dibuat di 21 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh daerah.
Katanya, sejak dibuka pemberian vaksin secara ‘walk in’, ianya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di negeri itu.
Katanya, seramai 5,164 orang yang disuntik secara ‘walk-in’ semalam berbanding sasaran 10,740 orang.
“Kita melaksanakan langkah ini kerana mendapat bekalan vaksin sebanyak 1.2 juta dos dari Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Kebangsaan pada Ogos dan dijangka 1.2 juta pada bulan ini.
“Bekalan vaksin ini sampai secara berkala iaitu seminggu sekali dan bekalan setakat ini cukup. Kita juga boleh melaksanakan suntikan di antara 32,000 hingga 35,000 dos sehari.
“Jika ini berterusan dan berjalan lancar, kita jangka pada 30 September ini Kelantan dapat mencapai imuniti kelompok atau suntikan vaksin 80 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim di sini, hari ini