By Nor Shazleza Shahril
KUALA TERENGGANU | Lima daripada 10 premis di negeri ini yang diperiksa, dikesan gagal menurunkan harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 seperti di tetapkan kerajaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saharuddin Mohd Kia berkata, pemilik premis berkenaan sudah diberi nasihat supaya menurunkan harga seperti ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90 seunit.
Katanya, pegawai dan anggota penguat kuasa melakukan 10 pemeriksaan dan tinjauan pematuhan hari pertama pelaksanaan kawalan harga Kit Ujian Kendiri COVID-19, hari ini.
“Premis yang diperiksa membabitkan farmasi dan klinik di daerah ini, di Besut, Kemaman dan Dungun. Susulan pemeriksaan dilakukan, kita dapati lima daripada 10 premis mematuhi harga runcit maksimum ditetapkan iaitu RM19.90,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, kerajaan melalui KPDNHEP memberi kelonggaran tujuh hari untuk peniaga melakukan penyelarasan harga siling kit ujian kendiri.
“KPDNHEP negeri menegaskan tiada kelonggaran diberikan keatas peniaga yang ingkar dengan penetapan harga maksimum ditetapkan berkuat kuasa 12 September ini.
“Tindakan tegas akan diambil jika didapati peniaga masih ingkar dan menjual kit ujian kendiri COVID-19 dengan harga lama iaitu RM40 seunit,” katanya.
Saharuddin berkata, peniaga yang gagal menurunkan harga seperti ditetapkan kerajaan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 iaitu jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000.00 dan dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.00.
Katanya, tindakan dan hukuman ke atas syarikat juga boleh dikenakan iaitu didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Kita meminta semua peniaga mematuhi kawalan harga ditetapkan bagi memastikan peralatan itu dapat dibeli pada harga mampu milik oleh pengguna dalam usaha memantau risiko jangkitan dan penularan pandemik COVID-19,” katanya