TAIPING | PAS berpandangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kelak.
Lapor Berita Bersatu, Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata ini kerana pelantikan Perdana Menteri telah pun dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri juga telah diperkenankan dan ia merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Lantikan Perdana Menteri ini merupakan kuasa mutlak yang ada kepada Yang Dipertuan Agong. Jadi saya berpandangan tidak perlu ada (usul undi percaya itu),” katanya
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Musaadah Banjir di Kampung Matang Gelugor, dekat sini, pada Ahad.
Pada Sabtu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk baru-baru ini.
Katanya pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan yang dibuat sebelum ini mengikut lunas undang-undang.
“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.
“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya sebagaimana dilaporkan.