By Nik Amir
KOTA BHARU | Kelantan FC bertegas adalah tidak wajar mereka dipersalahkan kerana melanggar peraturan perlawanan ketika bertemu Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Premier, pada 27 Ogos lalu.
Sebaliknya pemilik kelab itu, Norizam Tukiman berkata, kesalahan tersebut berpunca daripada kesilapan pegawai perlawanan dan ia tidak sepatutnya diletakkan ke atas Kelantan FC.
Menurutnya, barisan kejurulatihan pasukannya terlebih dahulu merujuk pegawai perlawanan iaitu pengadil keempat dan telah mendapat kebenaran untuk membuat pertukaran pemain.
“Sebagai makluman, sebelum melakukan pertukaran pemain kelima yang dibuat oleh TRW Kelantan pada minit ke-90+2 permainan, penolong jurulatih Kelantan FC telah merujuk terlebih dahulu kepada pegawai keempat yang bertugas dan selanjutnya telah memberi kelulusan dan pengesahan dalam membenarkan pertukaran tersebut boleh dilakukan.
“Kelantan FC menegaskan di sini bahawa rujukan awal telah dibuat terlebih dahulu sebelum pertukaran pemain dibuat yang mana adalah menurut kelulusan yang diberikan oleh pegawai perlawanan tersebut,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan FC dilapor melanggar peraturan apabila membuat pertukaran pemain sebanyak empat kali berbanding hanya tiga kali dibenarkan dalam satu perlawanan.
Pertemuan kedua-dua pasukan itu berkesudahan dimenangi tuan rumah dengan keputusan 2-1.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan FC yang bersaing dengan Sarawak United FC untuk memburu kejuaraan liga musim ini dikatakan mengemukakan bantahan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 30 Ogos lalu.
Sehubungan itu, Norizam atau dikenali Zamsaham berharap organisasi pentadbiran liga bola sepak negara mengambil pertimbangan sewajarnya di sebalik insiden itu.
“Kami berharap pihak MFL mengambil pertimbangan dan keputusan secara telus berkait insiden ini,” ujarnya lagi.