SHAH ALAM | Seramai 100 usahawan jutawan akan dihimpunkan pada Program Titan Summit 2021 untuk berkongsi usaha dan tindakan mereka yang berjaya membina perniagaan daripada sifar hinggalah mencapai tujuh angka jualan meskipun ketika berdepan krisis pandemik COVID-19.
Lapor Bernama, Timbalan Naib Presiden Kanan RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks), Radz Mohd, berkata program itu yang ditaja sepenuhnya oleh RichWorks akan diadakan secara maya bermula 24 hingga 26 September dan terbuka kepada semua usahawan serta bakal usahawan.
“100 usahawan jutawan ini adalah sebahagian anak didik di bawah RichWorks dan bimbingan mentorship Datuk Dr Azizan Osman yang terdiri daripada 20 industri dari seluruh Malaysia serta Australia, Singapura dan Indonesia.
“Kami tampilkan mereka ini yang dibimbing secara dekat oleh mentor usahawan dan pakar pemasaran nombor satu Asia, Dr Azizan, untuk kongsikan perkara yang membuatkan mereka berubah dan capai kejayaan hingga hari ini dalam program itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Radz berkata, Program Titan Summit 2021 itu diadakan bertujuan untuk memberikan inspirasi dan harapan kepada usahawan malah anggota masyarakat bahawa mereka juga boleh berjaya dalam tempoh mencabar ini.
“RichWorks bersama Dr Azizan sudah melatih dan membimbing ramai usahawan sejak 2008 malah boleh dikatakan kebanyakan jenama terkenal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera datangnya daripada kami.
“Kami tidak bercakap kosong, sebab itu RichWorks tampilkan 100 usahawan jutawan ini bagi kongsikan kisah perjalanan mereka sendiri,” katanya.
Menurutnya, RichWorks akan membawakan bukan saja pengasas perniagaan malahan juga usahawan master stokis yang menjual produk atau perkhidmatan usahawan lain.
Dalam pada itu, Radz berkata pada program itu peserta juga akan dapat mengetahui peluang-peluang perniagaan yang disediakan usahawan jutawan ini dengan modal yang rendah malah ada yang percuma.
Bagi keterangan lanjut berhubung program tersebut orang ramai boleh melayari laman web richworks.com/titansummit.