BERLIN | Beberapa aktivis hak asasi manusia memfailkan aduan jenayah di Jerman terhadap lima syarikat termasuk C&A, Lidl dan Hugo Boss atas dakwaan memanfaatkan hasil buruh paksa penduduk Uighur di China.
Lapor AFP, menurut Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Eropah (ECCHR), pihaknya sudah mengemukakan kes tersebut yang menyasarkan dua rangkaian pasar raya Aldi Nord dan Aldi Sued selepas menjalankan siasatan terbuka.
Jurucakap ECCHR, Miriam Saage-Maass berkata, agak sukar bagi organisasi masyarakat sivil mendapatkan bukti jelas mengenai penyalahgunaan itu, namun ia mencukupi untuk pendakwa raya meneliti perkara itu dengan lebih dekat.
Jelas beliau, terdapat banyak maklumat yang menunjukkan kejadian buruh paksa berlaku.
“Persoalannya adalah sama ada menjalin hubungan perniagaan bukanlah cara untuk membantu dan bersubahat dengan jenayah antarabangsa itu,” katanya.
Menurut Saage-Maass, lima syarikat itu secara terbuka dan sukarela menyenaraikan kilang pembekalan mereka dari wilayah Xinjiang namun ia kemungkinan besar merupakan sebahagian kecil sahaja.
“Kami percaya lima firma itu hanya contoh masalah yang lebih luas dan sistematik,” katanya.
Saage-Maass berkata, kapas China merangkumi 20 peratus daripada pengeluaran global dengan 80 peratus daripada jumlah itu dihasilkan di wilayah Xinjiang.
“Jadi, kemungkinan besar terdapat lebih banyak syarikat yang menerima bekalan produk itu dari wilayah tersebut,” katanya.
Sementara itu, firma C&A menafikan membeli sebarang pakaian dari pengeluar yang berpangkalan di Xinjiang.
Malah, syarikat itu juga menegaskan tidak menggunakan sumber benang atau fabrik dari wilayah itu.
Begitu juga, Hugo Boss menolak dakwaan ECCHR dengan menegaskan firma itu mematuhi segala nilai dan standard dalam pengeluaran barangan serta tidak melanggar undang-undang.
Menurut kumpulan Aldi, dakwaan ECCHR itu melibatkan pembekal Turpan Jinpin Knitting dan pihaknya sudah berhenti membeli sebarang barangan dari syarikat itu sejak 2019.
Firma Lidl juga menyatakan tuduhan itu berdasarkan senarai pembekal yang berkaitan dengan tempahan barang pada masa lalu.