KUALA LUMPUR | Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh lesen perniagaan percuma melalui Skim Wilayah Bebas Berniaga yang dijadual tamat pada akhir tahun ini, bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat COVID-19.
Lapor Bernama, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata buat masa ini, kerajaan akan meneruskan semua dasar pentadbiran terdahulu yang dilihat memberi manfaat kepada masyarakat selain akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Semua kerja baik yang telah dibuat oleh rakan-rakan (Menteri Wilayah Persekutuan terdahulu) akan diteruskan, bila masanya sampai kita akan umumkan.
“Ada penambahbaikan yang DBKL akan umumkan dari semasa ke semasa, kita bukan sahaja akan beri peluang kepada mereka berniaga malah akan permudahkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tempoh inisiatif tersebut dipanjangkan lebih lama lagi bagi meringankan beban peniaga yang terjejas akibat COVID-19.
Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenalkan pada 15 Nov tahun lepas, bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan sesuai secara percuma.
Terdahulu, Shahidan menyerahkan bantuan Bakul Makanan MyFood@Wilayah kepada penduduk kurang berkemampuan di Taman Desa di sini, melibatkan tiga kawasan perumahan iaitu Flat Sri Lempah, Teratak Muhibbah 1 dan Teratak Muhibbah 2.
Shahidan berkata seramai 67,285 penerima daripada golongan kurang berkemampuan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan telah menerima manfaat daripada program bakul makanan tersebut dengan jumlah peruntukan lebih RM3.2 juta sejak dilaksanakan November tahun lepas.
“Inisiatif bakul makanan ini tidak hanya fokus kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awan (PA) sahaja malah diperluaskan kepada perumahan dan flat kos rendah swasta yang terkesan,” katanya.