KOTA KINABALU | Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah memaklumkan kematian seorang pesakit lelaki berusia 56 tahun dari Pulau Mantanani, Kota Belud pada 5 September disebabkan COVID-19.
Menurut Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin, lelaki terbabit mempunyai sejarah penyakit hipertensi dan hyperlipidaemia telah datang ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kota Belud pada hari tersebut dengan ditemani oleh ahli keluarga.
Katanya, pesakit pada ketika itu hampir tidak sedarkan diri dan menunjukkan kadar pernafasan yang laju.
“Menurut ahli keluarga, pesakit mula mengadu sesak nafas sehari sebelum datang ke Hospital Kota Belud serta mengalami batuk yang berterusan.
“Beliau juga tidak mempunyai sejarah bertemu dengan pesakit positif COVID-19. Keputusan ujian Rapid Test Kit (RTK) Antigen (Ag) COVID-19 menunjukkan positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Rose Nani berkata, keadaan pesakit semakin teruk sehingga terpaksa diberi bantuan pernatasan menggunakan ventilator.
Katanya, walaupun telah diberi rawatan kecemasan, kes tidak menunjukkan tanda-tanda pulih dan disahkan meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ.
“Pesakit telah menerima suntikan vaksin Cansino pada 27 Ogos lalu namun dipercayai mendapat jangkitan COVID-19 seminggu selepas divaksinasi.
“Kemungkinan pesakit belum membentuk imuniti penuh untuk melawan jangkitan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, bagi individu membentuk paras antibodi yang boleh mencegah jangkitam coviD-19, ianya perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari.
“JKN Sabah ingin menasihatkan orang ramai yang telah menerima vaksin COViD-19 agar terus kekal memakai pelitup muka, mengamal penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan kawasan tertutup dan sesak dengan orang ramai bagi melindungi dari jangkitan penyakit COVID-19,” katanya.