PRISTINA | Seorang lelaki dari Kosovo bertindak menelan sebuah telefon bimbit klasik jenis 3310.
Lapor Metro, telefon bimbit itu berada di dalam perut lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu, selama empat hari.
Menurut sekumpulan doktor, saiz telefon bimbit yang terlalu besar menyebabkannya tidak boleh dicerna sekali gus membahayakan nyawa lelaki berusia 33 tahun itu.
Malah, asid bateri telefon bimbit itu yang bersifat menghakis boleh mengakibatkan kebocoran dan mengancam nyawa.
Dr. Skender Teljaku yang mengetuai pasukan perubatan itu, berkongsi beberapa gambar telefon bimbit selepas dikeluarkan.
Beliau juga memuat naik imbasan X-Ray dan endoskop yang memaparkan telefon bimbit dalam perut lelaki tersebut.
Teljaku berjaya mengeluarkan telefon bimbit Nokia 3310 dari perut lelaki itu tanpa melakukan pembedahan.
Beliau bersama pasukannya mengeluarkan telefon itu menerusi kaedah endoskop.
“Tiada komplikasi ketika prosedur itu dijalankan,” katanya.
Berdasarkan laporan media tempatan, lelaki itu datang sendiri ke sebuah hospital di Pristina selepas mengalami kesakitan akibat menelan objek itu.
Menurut Persatuan Gastroenterologi Britain, kebanyakan benda asing yang ditelan akan keluar dengan sendirinya.
Bagaimanapun, kira-kira 10 hingga 20 peratus kes seperti itu memerlukan pengeluaran menerusi kaedah endoskop dan satu peratus dengan cara pembedahan atau rawatan disebabkan komplikasi.
Jelas persatuan itu, duit syiling, butang, barangan plastik, bateri dan tulang merupakan benda asing biasa ditelan meskipun tidak sepatutnya. – AGENSI