By Nor Shazleza Shahril
KUANTAN I Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)Pahang berjaya merampas kayu gergaji ‘sawn timber’ sebanyak 32.266 (MTQ) yang dianggarkan bernilai RM245,643.02 di Pelabuhan Kuantan di sini, semalam.
MAQIS dalam satu kenyataan berkata, kayu yang berasal dari negara Amerika Syarikat itu telah dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan.
“Kesemua kayu itu berjaya dirampas oleh Penguatkuasa MAQIS selepas pemeriksaan rutin yang dijalankan pada 3.30 petang.
“Barang dagangan terbabit ditahan untuk tindakan lanjut atas faktor mengemukakan Permit Import tamat tempoh kepada pihak MAQIS.
“MAQIS akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah Akta ini.
Jika disabitkan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.