KUALA LUMPUR | Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memastikan sektor dan peniaga-peniaga kecil terus dibantu dalam setiap perancangan kerajaan membawa negara keluar dari kemelut ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19.
Katanya, ruang yang luas perlu diberikan kepada usahawan dan peniaga kecil itu untuk menjalankan perniagaan, seiring hasrat kerajaan memastikan mereka terus berupaya menjana pendapatan.
Menurutnya, langkah untuk terus membantu peniaga kecil itu akan beliau bangkitkan dalam mesyuarat pertama MPN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, langkah yang sewajarnya akan saya ambil dalam perancangan kita untuk memastikan lebih banyak sektor ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain kembali pulih sebagaimana sebelum pandemik Covid-19 melanda negara,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.
Bekas Perdana Menteri itu berkunjung ke kawasan perniagaan di Setapak Jaya, petang semalam, satu daripada kawasan atau wilayah ‘bebas berniaga’ di Kuala Lumpur yang menjual pelbagai aneka makanan, minuman, kudapan dan buah-buahan tempatan.
“Alhamdulillah, saya merasa amat gembira apabila rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan kehidupan mereka kembali bersinar melalui kebenaran menjalankan perniagaan yang diberikan kerajaan,” ujarnya.
Tambahan lagi, kata beliau hampir kesemua yang meniaga menceritakan mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin.
Katanya, keceriaan yang terpamer di wajah para peniaga kecil itu menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara semakin jelas.
Muhyiddin amat menghargai usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai dalam tempoh ditetapkan di sekitar bandar raya tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Beliau juga bangga melihat SOP diamalkan oleh para peniaga dan juga pembeli, yang kesemuanya memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal dalam berurusniaga.
“Mari kita doakan yang terbaik untuk negara kita yang tercinta dan rakyat Malaysia yang bertungkus lumus berusaha dan bekerja menjana pendapatan di mana sahaja anda berada. Moga anda dan kita sentiasa dilindungi-Nya!” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY