KUALA LUMPUR | Mahkamah Tinggi di sini menolak saman pemula difailkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta MKN 2016).
Lapor Bernama, Peguam J Leela, yang mewakili Anwar memaklumkan perkara itu selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid hari ini yang turut disertai Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy bertindak bagi pihak MKN dan kerajaan selaku defendan.
Leela berkata Hakim Ahmad Kamal menolak saman pemula itu tanpa perintah untuk kos berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Akta MKN 2016 adalah sah dan berperlembagaan.
“Mahkamah Persekutuan pada 6 Ogos telah mengeluarkan perintah supaya kes saman itu dilupuskan di Mahkamah Tinggi dan berdasarkan perintah itu, Hakim Ahmad Kamal menolak saman pemula berkenaan,” kata peguam itu.