KUALA LUMPUR | Kerajaan bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif, bermula Khamis ini.
Lapor Berita Harian, keputusan itu yang dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, Khamis lalu, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja, dengan tertakluk kepada SOP digariskan termasuk lengkap vaksinasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelonggaran itu juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.
“Persetujuan memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
“Kelonggaran ini juga diberi berasaskan faktor ada negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin atau mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aktiviti industri kreatif yang diberi kelonggaran bagi negeri dalam Fasa 1 PPN adalah seperti berikut:
* Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
* Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton sudah lengkap vaksinasi serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.
* Penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
* ‘Indoor busking’ kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
* Persembahan di lounge hotel kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
* Aktiviti panggung wayang kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.
* Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang sudah lengkap vaksinasi serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.
* Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang sudah lengkap vaksinasi dan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis.
Ismail Sabri berkata, selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran itu juga dapat menghidupkan semula industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.
Beliau berkata, industri kreatif menyumbang sebanyak dua peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.
“Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program direncanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures serta Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).
“Keputusan ini adalah antara usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif,” katanya.
Perdana Menteri sekali gus menggesa semua pihak terbabit dalam pembukaan sektor itu, supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur ditetapkan.
Beliau berkata, ia bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan, khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.
“Insya-Allah, kerajaan akan sentiasa komited mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.