KUALA LUMPUR | Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Khaidirah Abu Zahar berharap usaha sama daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk memaklumkan perkembangan proses persediaan Undi18 dari masa ke masa agar pengundi dan parti-parti politik boleh bersiap sedia.
Katanya, keterbukaan SPR mampu memberi keyakinan kepada rakyat akan kesungguhan badan pengelola pilihan raya negara itu dan kerajaan umumnya.
Begitu juga beliau yakin rakyat dan parti-parti politik akan memberi kerjasama penuh sekiranya terdapat keperluan daripada pihak terbabit untuk membantu memudahkan persiapan SPR.
“Saya melihat perkembangan ini menunjukkan peranan anak muda khususnya berusia 18 hingga 21 tahun akan membawa demokrasi dan politik Malaysia lebih dinamik dan mengikut perkembangan semasa.
“Namun untuk menjadikan amalan demokrasi kita lebih berkualiti, besar harapan saya agar pengundi keseluruhannya dan generasi muda khususnya mempersiapkan diri dengan kemahiran menyaring maklumat.
“Amat penting agar pengundi celik ini dilahirkan bergerak seiring dengan pembukaan lantai demokrasi yang sama rata dan lebih luas ini kerana para pengundi akan memilih parti dengan tawaran yang lebih realistik berbanding parti yang menjanjikan bulan dan bintang,” kata Ketua Pegerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin itu dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambah Khaidirah atau lebih dikenali dengan Dira, beliau menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan terkini sebagaimana laporan media pada 3 September baru-baru ini di mana Hakim Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan Undi18 dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.
Katanya, memandangkan Sarawak masih berada bawah Ordinan Darurat hingga Februari 2022, anak muda Sarawak berpeluang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan.
“Saya juga mengikut rapat perkembangan tuntutan Undi18 melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak April lalu. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman dijalankan untuk sekelompok anak muda mencabar penangguhan pelaksanaan tersebut.
“Saya percaya proses kehakiman ini akan memberi jaminan bahawa pindaan Undi18 ini benar-benar mampu dilaksanakan pada masa yang ditetapkan.
“Datuk Seri Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sendiri turut menzahirkan sokongan padu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching. Bagi saya pendirian beliau juga menjadi signal positif betapa jemaah menteri juga sebenarnya komited mengangkat semangat pendemokrasian ini,” katanya. – UMNO ONLINE