TUMPAT | Seorang remaja lelaki dikejutkan dengan kek hari jadi sempena sambutan kelahirannya ke-18 ketika mendapatkan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), hari ini.
Turut menyifatkan vaksin itu sebagai hadiah hari jadinya, Ahmad Airoul Firhan Mohd Rosdi, 18, dari Kampung Alor Pasir, di sini yang hadir di PPV Dewan Kopeladar Wakaf Bharu ditemani ibunya tidak menyangka akan menerima kek tajaan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).
Dia yang mendaftar dalam aplikasi MySejahtera pada 11 Ogos lalu terkejut apabila menerima panggilan untuk mendapatkan suntikan vaksin pada tarikh hari lahirnya.
“Setiap hari saya memeriksa MySejahtera sebelum mendapat tarikh suntikan vaksin, kerana tidak sabar untuk divaksin walaupun ragu-ragu memandangkan belum lagi cukup umur 18 tahun.
“Bagaimanapun, saya mendapat tarikh untuk suntikan dos pertama pada minggu lalu yang kebetulan jatuh pada hari lahir dan berasa sangat teruja malah menganggap ia hadiah hari jadi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Penuntut Kolej Matrikulasi Kedah dalam jurusan Sains itu berkata, dia terpaksa ‘ponteng’ satu kelas yang dijalankan secara dalam talian untuk menghadiri PPV hari ini namun sudah memaklumkan pensyarahnya malam tadi.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia juga menghadiri ujian secara dalam talian pagi tadi sebelum bersiap untuk ke PPV.
“Keterujaan saya untuk mendapatkan suntikan vaksin ini juga sebagai persediaan sekiranya institusi pengajian tinggi dapat dibuka dalam masa terdekat yang memerlukan saya melakukan rentas negeri.
“Saya harap lebih ramai remaja seusia saya boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha memutuskan rantaian wabak itu sekaligus dapat mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan,” katanya.
Sebagai berkongsi kegembiraan, ibunya, Siti Rohana Idris, 41, menempah 50 pek pulut kuning untuk diagihkan kepada petugas di PPV berkenaan bersama kek hari jadinya.
Siti Rohana berkata, tempahan pulut kuning menerusi seorang kenalan dibuat petang semalam sebagai menghargai petugas barisan hadapan yang bertugas di PPV terbabit.
“Dalam masa yang sama saya ingin menjadikannya kenangan memandangkan tidak dapat diraikan secara meriah tapi cukuplah dizahirkan dengan cara sebegini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MTRK, Aiman Yusri Mohd Yusof, berkata pihaknya terpanggil untuk meraikan hari kelahiran Ahmad Airoul Firhan sempena diberi suntikan vaksin dos pertama hari ini.
“Kita mahu memberi motivasi kepada masyarakat bahawa remaja berusia seawal 18 tahun peru mengambil vaksin kerana ia sudah menjadi satu keperluan seperti disarankan kerajaan,” katanya.