JOHOR BAHRU | Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Johor Selatan, malam tadi.
Dalam satu kenyataan TLDM berkata, lelaki terbabit dipercayai warganegara Indonesia dan berusia 20 hingga 40 tahun.
Katanya, mereka ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
“Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan keberadaan sebuah bot curiga berkelajuan tinggi bergerak dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki
menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.
“Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD Ganyang di lapangan untuk tindakan lanjut.
KD Ganyang seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123, bot pemintas RHIB SANTI serta aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu PERKASA 30 bagi memintas bot tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurutnya, menyedari kehadiran bot-bot TLDM dan APMM di lokasi, bot PATI telah bertindak melaksanakan cubaan meloloskan diri.
Katanya, namun hasil kecekapan dan tindak balas pantas FCB 1123, RHIB SANTI dan PERKASA 30 telah berjaya mengagalkan cubaan tersebut.
“Pihak kami memberkas PATI tersebut di lokasi empat batu nautika selatan Teluk Ramunia. PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan seterusnya telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk
ujian saringan COVID-19 dan juga siasatan lanjut.
“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahupun di darat.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” katanya.