KUALA LUMPUR | Beberapa pendekatan jangka pendek dan panjang perlu dirangka bagi memacu perubahan pasaran buruh negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha merintis perkembangan pasaran buruh supaya aktif dan terangkum harus meliputi langkah meneliti semula strategi sedia ada.
Katanya, percaturan itu penting kerana strategi ialah ‘nadi’ di sebalik sebarang inisiatif yang berupaya mewujudkan perlindungan keselamatan sosial.
“Amat penting untuk aktiviti seperti bantuan mencari pekerjaan, pengurusan kurang upaya, program keusahawanan, pendidikan vokasional dan latihan dikembangkan serta diperluaskan ke segenap golongan sasar.
“Pembabitan setiap peringkat komuniti, termasuk majikan, pekerja dan pencari kerjaya, graduan serta belia adalah amat diperlukan dalam kita mengharungi krisis kesihatan yang tidak pernah dialami sebelum ini.
“Setiap pihak harus memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing serta berada dalam kebersamaan,” katanya dalam ucapan penutup Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa 202 yang berlangsung secara maya, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.