KUCHING | Maritim Malaysia Negeri Sarawak telah menahan sebuah bot nelayan dan tujuh nelayan asing termasuk tekong dalam satu Operasi Khas pada jarak lebih kurang 167 batu nautika timur laut Tanjung Po, Kuching jam 7.40 pagi, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bot tersebut dipercayai nelayan asing Vietnam berdasarkan struktur fizikal dan nombor pendaftaran pada bot.
Katanya, bot tersebut bertindak cuba melarikan diri apabila dirapati bagi tujuan pemeriksaan dan geledah, namun berjaya dipintas dan ditahan oleh penguat kuasa.
“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“Selain itu, tujuh kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 45 tahun juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bot dan kesemua kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel KOMTAS, Kuching untuk siasatan lanjut.
Katanya, hasil tangkapan ikan campur anggaran 1,300 kilogram, peralatan menangkap ikan, serta bekalan diesel lebih kurang 1,300 liter turut dirampas dan keseluruhan rampasan termasuk bot adalah dianggarkan bernilai RM600,000.
“Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala anak kapal boleh didenda sehingga RM600 ribu setiap seorang dan vesel boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.
Menurutnya, kesemua kru akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri,” katanya.