JELI | Dua penunggang motosikal maut, manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 87, Jalan Kota Bharu- Machang- Gerik, di sini, hari ini.
Kemalangan jam 11 pagi itu menyebabkan dua mangsa, berusia 17 dan 31 tahun maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, lebih kurang 11.11 pagi, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat kemalangan maut yang membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu kereta Honda Civic berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli.
“Apabila sampai di tempat kejadian, telah membuat pusingan ‘U’ di tengah jalan dan dilanggar oleh tiga motosikal yang datang dari arah yang sama. Akibat kejadian itu, dua mangsa iaitu penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang membuat pusingan ‘U’ sehingga menyebabkan berlakunya pelanggaran,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.