KUALA LUMPUR | Sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu, kes bunuh diri yang dicatatkan ialah 262 kes.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan kes bunuh diri di negara ini sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.
“Peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan pada 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada 2019.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur daripada 15 hingga 29 tahun,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia hari ini.
Beliau berkata, tema tahun ini iaitu ‘Let’s TALK Minda Sihat: Bertindak Segera, Harapan Terbina” Creating Hope Through Action’ bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.
Katanya, selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’, peranan masyarakat secara bersama bagi mengenal pasti simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang yang disayangi terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.
Dr Noor Hisham berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.
“Pada 2019, satu dalam 100 kematian (1.3 peratus) adalah disebabkan bunuh diri. Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan seramai 135 ahli keluarga atau rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.
“Situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan tidak terkecuali masyarakat Malaysia.
“Faktor sosial menyebabkan tekanan yang terlampau, antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan,” katanya.
Beliau berkata, jika kemurungan gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri. Tingkah laku bunuh diri meliputi idea, rancangan, cubaan dan kematian akibat tindakan bunuh diri.