KUALA LUMPUR | Penggubal dasar harus meningkatkan usaha dan melaksanakan pembaharuan serta menggubal dasar yang perlu bagi membendung kemiskinan dan menambah baik taraf hidup golongan yang kurang bernasib baik.
Lapor Berita Bersatu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usaha untuk mengurangkan kemiskinan akan menjadi satu daripada keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), yang merupakan pelan pembangunan sosio-ekonomi mencarta agenda pembangunan ekonomi Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Membendung kemiskinan dan menambah baik taraf hidup dalam kalangan mereka yang tertindas dan kurang bernasib baik merupakan satu matlamat mulia yang seluruh umat manusia boleh dan perlu bersatu untuk menanganinya. Taraf hidup yang baik adalah hak asasi manusia yang asas,” katanya dalam ucap tama beliau pada Forum Antarabangsa mengenai Inklusif Baharu Asia 2021, yang diadakan secara maya, hari ini.
Menurut Bank Dunia, kadar kemiskinan ekstrem global meningkat pada 2020 buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun disebabkan pandemik COVID-19 yang membawa kepada tambahan 120 juta orang hidup dalam kemiskinan, dengan bilangannya dijangka meningkat kepada kira-kira 150 juta pada akhir 2021.
Di dalam negara, kata Mustapa, peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah garis kemiskinan meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020, disebabkan terutamanya kesan ekonomi yang berpunca daripada usaha untuk mengekang pandemik.
“Dianggarkan bilangan isi rumah miskin di Malaysia meningkat kepada 640,000 pada 2020 berbanding 405,000 pada 2019,” katanya.
Meskipun Malaysia telah berjaya dalam usahanya mengurangkan kemiskinan tegar, seperti yang ditunjukkan menerusi peratusan rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan turun daripada 49.3 peratus pada 1970-an kepada 5.6 peratus pada 2019, Mustapa berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan Malaysia untuk membasmi kemiskinan seperti yang dilakukan China.
“Selain kemiskinan tegar, Malaysia menggunakan indeks kemiskinan pelbagai dimensi – yang melihat kepada kualiti kesihatan, pendidikan dan taraf hidup dalam kalangan golongan miskin – sebagai petunjuk penting mengukur kualiti hayat dalam kalangan rakyat,” katanya.
Menurut Mustapa, China unggul dalam usahanya mencapai matlamat pengurangan kemiskinan yang ditetapkan oleh Agenda bagi Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030, 10 tahun lebih awal daripada yang disasarkan.
“China memberikan contoh kepada dunia terutamanya kepada kita dari negara-negara membangunkan mengenai bagaimana dasar ekonomi dan sosial boleh membantu mengeluarkan orang daripada kemiskinan. Mesejnya jelas – jika China boleh melakukannya, begitu juga kita,” katanya.