PUTRAJAYA | Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju dan komited untuk melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
Katanya, Baginda dan Raja-Raja Melayu mahukan sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi.
“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” katanya hari ini.
Ismail Sabri berkata, pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa.
Katanya sebanyak tujuh Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan diberi keutamaan.
“Antaranya, Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
“Selain itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
“Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama, manakala, Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
“Yang terakhir, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri,” katanya.
Beliau berkata, transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.
“Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya.